Hefny selesa berlakon dengan adik Uqasha


KUALA LUMPUR: Pelakon, Hefny Sahad, mengaku tidak mempunyai masalah untuk beraksi di sisi bintang muda, Raysha Rizrose, dalam drama Cintaku Di Bumi Izmir.
Katanya, dia dan pelakon berusia 21 tahun itu sememangnya sudah saling mengenali sebelum disatukan dalam drama terbabit.
Raysha ialah adik kepada aktres sensasi, Uqasha Senrose, yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengannya sebelum ini.
"Memang saya dan Raysha tidak pernah bekerjasama sebelum ini. Tetapi, kami memang saling mengenali dan pernah melepak bersama. Saya juga baik dengan ahli keluarganya, jadi ia bukanlah masalah besar.
"Cuma, ketika peringkat awal penggambaran, tidak dinafikan ada sedikit cabaran untuk mendapatkan keserasian. Namun, lama-kelamaan, saya mahupun Raysha boleh mengikut rentak masing-masing. Saya dan semua pelakon lain cuba memberikan persembahan terbaik untuk naskhah ini.
"Menerusi drama ini, kami diberikan watak dua insan yang perlu menzahirkan perasaan cinta masing-masing ketika bertemu di Izmir, Turki," katanya sambil memaklumkan, mereka sentiasa bersikap profesional ketika di lokasi, termasuklah sewaktu menjayakan penggambaran di negara terbabit..
Dalam Cintaku Di Bumi Izmir, Hefny, 30, memegang watak usahawan muda bernama Aidid.
"Aidid mewarisi perniagaan eksport dan import makanan di Malaysia, iaitu bisnes yang sebelum itu diusahakan keluarganya. Masih bujang, dia dibesarkan oleh emak saudaranya (lakonan Noniswara) selepas kematian ibu dan bapa.
"Hendak dijadikan cerita, Aidid perlu ke Turki kerana memenuhi undangan sebuah persidangan. Di sana, dia bertemu Suzan (Raysha) yang membantunya dari segi komunikasi bersama orang tempatan. Aidid turut meminta Suzan menjadi pemandu pelancong dan penterjemah sepanjang dirinya berada di negara itu bagi memudahkan kerja.
"Lama-kelamaan, perasaan profesional itu bertukar menjadi sayang. Namun, pada masa sama Aidid berdepan konflik apabila ibu saudaranya meminta dia berkahwin dengan anak teman baiknya," kata bekas pengacara Muzik-Muzik 32 itu.
Sementara itu, Hefny turut berkongsi pengalaman berpuasa bagi tempoh lebih panjang di negara berkenaan.
"Banyak cabaran ketika berlakon drama ini, apatah lagi apabila penggambaran dilakukan pada bulan puasa. Tempoh berpuasa di sana lebih panjang, iaitu kira-kira 17 jam. Cuaca pula kadang-kadang panas dan ada masanya sejuk.
"Menjalani penggambaran di Izmir juga menyaksikan kami berdepan masalah komunikasi. Ia bukanlah kota besar seperti Istanbul. Masyarakat di sana kebanyakannya tidak pandai berbahasa Inggeris," katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==