Ramadan lerai sengketa Amyza, Didie


KUALA LUMPUR: Kemanisan persahabatan mereka pernah diuji, namun di sebalik persengketaan yang tercetus, jalinan persahabatan antara dua pelakon berpengalaman, Didie Alias, 45, dan Amyza Aznan, 42, semakin utuh.
Didie dan Amyza yang bersahabat sejak muda berkata, mereka kini tidak mudah lagi termakan hasutan serta tohmahan daripada orang luar yang mahu melihat mereka terus bertelagah dan bermasam muka. Malah, mereka juga belajar menerima kebaikan dan keburukan masing-masing.
Mengakui mudah terasa dan sensitif apabila terlalu menyayangi seseorang, Amyza yang sudah menganggap Didie sudah seperti darah dagingnya sendiri kesal kerana terlalu mempercayai hasutan orang.
"Hubungan kami renggang apabila saya mempercayai bulat-bulat apa yang orang sampaikan. Silap saya kerana terus menjatuhkan hukum apabila mendengar cerita kononnya Didie menyantau saya.
"Masalah kami menjadi lebih besar apabila ada rakan artis yang datang menabur bara api. Siapa artis itu, biar hanya kami yang tahu. Kami pernah bersemuka, tetapi kembali bergaduh besar apabila ada yang datang mencucuk," katanya.
Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama bersiri, Mat Despatch pada 1998 itu berkata, suaminya pernah cuba menjernihkan semula hubungan mereka. Namun, usaha itu tidak berhasil kerana kedegilannya.
"Ibu kami terlalu bersedih, malah adik-beradik juga tidak bersetuju dengan tindakan kami. Keluarga kami memang rapat kerana persahabatan kami terjalin sudah berpuluh tahun," katanya.
Namun, pertemuan ketika Ramadan pada 2015 di rumah pengarah, Rashid Sibir menyatukan semula mereka. Amyza berkata, dia sanggup mengetepikan ego apabila terlebih dahulu menegur Didie.
"Kami berpelukan, seterusnya duduk di satu sudut untuk meluahkan apa yang terbuku selama ini.
Sejak itu, hubungan kami tidak lagi mudah tergugat. Jangan kerana satu keburukan, kita lupa 10 kebaikannya.
"Kami pernah lalui susah dan senang bersama. Mungkin dia tidak mampu membantu dengan wang ringgit, tetapi cukup saya ambil semangatnya. Dia bukan jenis kawan yang membantu, tetapi selepas itu, mengata di belakang," kata Amyza.
Sementara itu, Didie mengakui, terkejut apabila dikatakan sanggup menganiaya kawan baiknya sendiri. Kebetulan, ketika itu, Amyza sedang sakit teruk. Sebaik mendengar berita itu, Didie terus menghubungi Amyza dan mahu segera bersemuka.
"Sebaik balik dari Sabah, saya terus bertemu Amyza. Saya minta dia bawa suaminya bersama. Ketika itu, Amyza masih seperti biasa dan boleh bergurau. Saya malu apabila dikatakan cuba berbuat jahat kepada Amyza.
"Kenapa perlu saya berbuat begitu? Dia kawan baik saya. Banyak fitnah yang ditabur untuk memecah-belahkan hubungan kami. Saya memberitahunya, saya hanya mahu menjadi sahabatnya sampai mati.
"Jika saya pejam mata terlebih dahulu, inilah sahabat yang akan menghantar saya hingga ke liang lahad. Amyza menangis mendengarnya," katanya ketika ditemui pada majlis Jom Berbuka Puasa Bersama Didie & Amyza di The Acre Puchong, baru-baru ini.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==